Friday, August 12, 2011

TIDAKLAH BERGUGURAN SEHELAI DAUN PUN MELAINKAN ALLAH S.W.T MENGETAHUINYA

Ramai insan yang kurang sedar betapa alam semesta ini dan segala isinya, setiap masa dan ketikanya, tenggelam asyik di dalam irama Tasbih, Tahmid, Tamjid dan Taqdis memuji Khaliqnya, Allah Tabaraka Wa Ta’ala.

Semuanya mengulang-ulang penuh kesyahduan : “Allah Tuhanku. Dialah sebaik-baik Pencipta”. Subhanaka Ya Rabb.

Para Ulul Albab nescaya melihat sekelian alam ini meriah dengan zikir dan wirid mereka, bersahut-sahutan tanpa henti. Sebaliknya si mulhid atau si kafir musyrik, dengan jiwa mereka yang ‘mati’ telah dan akan terus beranggapan bahawa semesta alam ini kaku, bungkam, tiada jiwa, jumud persis jiwa mereka.

Alangkah menyimpang fikiran mereka. Alangkah buta hati mereka dari tanda-tanda kebesaranNya.

Bercakap tentang DAUN sahaja, nescaya akan menyerlahkan tanda-tanda kebesaran yang Esa, walaupun orang yang mulhid melihat ia sebagai satu tajuk yang remeh-temeh, buang masa dan kacau DAUN!

Pernahkah kita membaca sebaris firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah berguguran sehelai daun pun melainkan Dia (Allah) mengetahuinya”. (Ayat 59: Al An’am).

Pernahkah kita semua merenung ‘kesyumulan’ tajuk penciptaan DAUN ini? Nescaya kita akan takjub dan menjadi amat teruja di hadapan keagunganNya.

Pada satu-satu masa adakah hanya sehelai daun sahaja yang jatuh gugur ke bumi? Nescaya tidak! Dari satu pokok pun kita sudah jahil dan letih untuk mengira berapa helaian daun yang berguguran ke bumi.

Pendek kata, tak terbilang jumlahnya dan akhirnya otak kita menjadi letih lantaran keterhadannya untuk memikir apalagi menjangkauinya.

Apapun kita harus beriman, yakin dan percaya penuh kemampuan ‘ilmu’ dan ‘tadbir’ Allah SWT berkenaan makhluk ciptaanNya. Ilmunya meliputi segala sesuatu.

Tiada sehelai daun pun yang berguguran di muka bumi ini melainkan Dia Maha Tahu kenapa daun itu gugur, di mana daun itu gugur bahkan bilakah saatnya daun itu gugur. Ya ‘Aliim Ya Khabir..

Lalu apa daya kita dan apa pemilikkan kita berbanding kebesaranNya?, melain akhirnya kita hanya akan tunduk mengaku, menangis keharuan, bercucuran airmata seterusnya mendekat kepadaNya, tersembam sujud di hadapan Qudrah dan JabarutNya.





No comments:

Post a Comment